my rants

Boleh dihubungi melalui:
# Wattpad: Iftirasy_
# Twitter: Iftirasy_
# FB Page: Iftirasy_

May 13, 2017

LUXUREE 2



2

“SAYA dah fikirkan bentuk pemasaran yang sesuai untuk tema Fall/Winter nanti. Kali ini setiap butik dikehendaki menghantar proposal menyatakan bagaimana mereka memasarkan produk mereka bersesuaian dengan kedua-dua musim tersebut. Ada imbuhan untuk idea yang bernas serta tema tu akan dibawa ke tengah. Ia mungkin menjadi salah satu daya penarik pengunjung untuk selalu mengunjungi Luxuree.”
Ali kehairanan. Tak pernah-pernah Ryan menawarkan imbuhan kepada butik yang bernaung di bawah Luxuree, apa mimpi dia nak berbuat demikian? Selalunya CEO muda itu gemar mengaut keuntungan. Malah, sangat kedekut untuk membelanjakan wang atas nama imbuhan buat butik-butik sedia ada.
Apa mimpi Ryan malam tadi sehinggakan petang-petang begini dia mengusulkan cadangan yang begitu bernas di fikiran? Cadangan yang hadir daripada seorang pemuda yang selalunya kelihatan sambil lewa saja selain dari memikirkan keuntungan yang bakal disalurkan kepada Luxuree dan poketnya sendiri.
“Saya nak keluar melihat-lihat Luxuree. Lama-lama kat Suite ni boleh buat saya sesak nafas!” beritahu Ryan sambil membetulkan kemeja formal yang melekap di tubuhnya.
Ali sekadar menganggukkan kepala mendengarkan apa yang disampaikan oleh majikannya itu. Sekarang ini dia bertungkus-lumus dengan Melissa ingin menyiapkan kertas kerja agar promosi itu lebih berjaya.
Baru saja Ryan bergerak mendekati lif dia perasan akan kehadiran Hana di ruang eskalator Level 2. Bersendirian tanpa ada pengunjung yang menggunakan eskalator sama untuk ke tingkat atas. Tempoh hari pun dia melihatkan lagak yang sama. Cuma tak tergerak langsung hendak menegur. Tetapi, hari ini dia rasa wajar sangat sekiranya perbuatan sia-sia gadis itu dihentikan serta-merta. Berbahaya satu hal, mengundang pandangan serong pengunjung Luxuree pula adalah satu hal yang lain.
Ryan memerhati dengan pandangan pelik. Kelmarin dia melihat tingkah gadis itu sama dengan apa yang dilakukannya sekarang. Adakah gadis itu tidak mempunyai kerja lain yang boleh dimanfaatkan di butik sehinggakan perlu berada di situ sekarang? Berjalan menuruni eskalator yang sedang bergerak ke atas tanpa mempedulikan sekeliling.
CEO muda itu bergerak ke arah eskalator yang dimaksudkan. Tidak jadi dia nak menggunakan lif seperti selalunya. Ryan menuruni tangga eskalator di Level 4 sebelum beralih ke eskalator di Level 3 dan kini berdiri betul-betul di belakang Hana. Kenapa Ryan jarang melihat pengunjung menggunakan eskalator sewaktu Hana berperangai aneh begitu? Adakah gadis itu sudah menempah keseluruhan eskalator di Level 2 untuk aktiviti tidak berfaedah tersebut?
Kaki masih berjalan namun kepalanya kian pusing memikirkan masalah yang satu. Dia garu kepala yang dilapik dengan selendang berwarna merah bata itu. Kaki masih berjalan namun kepalanya kian pusing memikirkan masalah yang satu itu.
Berita yang tersebar meluas itu sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada jualan di butiknya. Perihal taboo yang seakan-akan kisah benar mengelilingi perniagaan miliknya yang sudah lima tahun beroperasi di pusat membeli-belah Luxuree. Selama ini, tak pernah dia berhadapan dengan masalah tersebut di awal pembabitannya tiga tahun lalu dalam perniagaan butik pakaian pengantin HANNAH. Kenapa kini muncul desas-desus tidak berasas seperti itu?
Excuse me. You tak ada kerja ke asyik main tangga eskalator aje? Like a homeless person...” Ryan yang tidak memahami perangai pelik Hana kini melakukan perkara yang sama di belakang Hana.
Hana menoleh. Homeless person? Ewah, sedapnya mulut mamat ni bercakap!
Ryan terpaku. Gadis di depannya itu walaupun berada di kedudukan satu tangga eskalator lebih rendah, jelas sedang memandang tepat ke wajahnya. Tak beriak.
Cantik! Terdetik perkataan tersebut melintasi hati. Alis matanya yang lentik dah buat Ryan tak henti-henti memandang. Cukup comel. Cepat-cepat dia melihat ke lain apabila gadis itu tayang muka tak puas hati.
“You tengah cakap depan cermin ke?” Hana menyoal sinis.
“I ada hak nak tanya you kenapa berkelakuan pelik begini di pusat membeli-belah I?” Mulalah keluar aura CEO kerek tak bertempatnya itu. Sungguh tak matang dan kebudak-budakanlah Ryan!
Mamat di belakangnya itu pemilik Luxuree? Biar betul? Memang dia sedia mengetahui bahawa CEO Luxuree sudah bertukar. Tetapi tak tahu pula jawatan tersebut disandang oleh lelaki muda seperti di belakangnya. Hana menelan liur sambil memikirkan bagaimana dia perlu menangani setiap perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu tadi.
“Muka I ni macam kesah sangat ke you pemilik Luxuree atau bukan?” Hana menyoal lagi. Dia dah berpaling melihat ke depan. Tidak lagi menghiraukan kehadiran lelaki itu di belakangnya.
“Eh, dia ni! Boleh pula nak tunjuk kerek dengan aku? Aku CEO Luxuree tau!” Ryan bermonolog di dalam hati.
Setakat yang Ryan tahu, semenjak dia menerajui Luxuree setiap pemilik butik di situ menghormati dirinya malah tidak pernah ada yang berani melawan kata. Dari mana pula datangnya keberanian gadis itu untuk menyoalnya secara sinis seperti tadi?
“Kenapa tak gunakan masa produktif you dengan menyajikan pulangan keuntungan kepada Luxuree berbanding buang masa di sini?”
“Depan mata you hanya nampak Luxuree, keuntungan dan duit aje ke CEO oi?” CEO oi? Ah, taram ajelah! Memang tepat panggilan tersebut ditujukan pada mamat tu. Hana sendiri tak tahu nama sebenarnya. Jadi, dia hanya menggelar lelaki itu dengan jawatannya saja. Tidak pernah dia berurusan secara empat mata dengan lelaki itu. Lainlah semasa mantan Luxuree masih ada. Selalu jugalah Hana berbual-bual dengan Encik Romli.
“Sekarang I tengah nampak you! You sumber duit dan keuntungan buat Luxuree. Dah tentu-tentu sekali buat I, CEO Luxuree. Bukan CEO oi, ya? Jaga bahasa you tu sikit!”
Eleh, dia yang tak reti berbahasa elok-elok, ada hati nak mengajar orang pulak! “Whatever!” Hana masih seperti tadi, bergerak menuruni setiap tangga eskalator yang masih beroperasi.
“Kalau you rasa I tengah buang masa, baik you blah. Karang menular fiil pelik I kat CEO Luxuree, I tak tanggung!” Hana tiada masa nak melayan ocehan lelaki itu. Apa yang pasti, bagaimana dia perlu membuat perubahan agar imej HANNAH kembali bersih daripada tuduhan tak berasas pelanggan-pelanggan sebelum ini.
Makaih, main halau orang ikut suka dia aje!” gerutu Ryan tak puas hati. Daripada berlama-lama di situ, elok sekiranya dia menjalankan rutinnya seperti biasa. Buang karan aje melayan gadis yang tak faham bahasa itu!
“CEO...” Hana berpaling ke belakang. Ada sesuatu yang ingin diajukan kepada lelaki itu. Malangnya Ryan sudah bergerak ke Level 3. Meninggalkan Hana keseorangan di eskalator itu sekali lagi.
“Salah aku jugak sebab halau dia tadi.” Akhirnya Hana mengambil keputusan untuk kembali ke butiknya di Level 2. Sudah tiba masanya dia melakukan sesuatu agar jenama HANNAH kembali bermain-main di bibir pelanggan.



SEMUA pemilik butik telah dimaklumkan dengan pertandingan yang dianjurkan oleh Luxuree dalam memasarkan produk masing-masing sempena siri Fall/Winter tahun ini. Setiap butik yang ada bakal mengetengahkan kertas kerja masing-masing bagi menarik minat CEO Luxuree untuk membuat penilaian sekali gus mengumpul idea-idea menarik tersebut untuk dipasarkan.
“Disebabkan tema kali ni adalah musim luruh dan musim sejuk, kita akan gunakan dua pendekatan berkaitan warna. First, warna kuning keemasan itu akan menjadi trademark untuk musim luruh. Second, warna putih salji untuk musim sejuk.”
“Bagaimana encik nak bahagikan setiap musim tersebut mengikut level pusat membeli-belah ni?” Maklumlah, ada hampir 500 butik yang bernaung di bawah Luxuree.
“Level 2 dan Level 4 akan bergabung kerana ia saling bersangkutan di antara satu sama lain. Sebagai contoh, mereka boleh buat pentas peragaan sebab kita akan gunakan main atrium untuk acaran sebegitu. Manakala Level 1 dan Level 3 akan bergerak sendiri.”
Ryan menyentuh bucu setiap proposal yang bersusun elok di depan matanya. Ada lebih kurang 500 proposal yang perlu diteliti. Belum tiba masa untuknya menyemak semua itu secara terperinci. “Melihat kepada timbunan proposal ni, ada tak cadangan menarik yang boleh diketengahkan untuk kita jadikan tema utama projek kali ini? Saya nak sesutu yang ‘WOW!’ dan mampu memukau pengunjung yang datang.” Tanya Ryan kepada Ali. Dia tahu Ali dan Melissa sudah membaca setiap proposal tersebut sepintas lalu.
“Kedai aksesori dan barangan kemas di Level 4 kebanyakannya bercadang untuk menganjurkan projek peragaan produk mereka mengikut tema yang kita beri. Bagi Level 3 pula, bahagian kanak-kanak lebih memfokuskan kepada pencarian bakat cilik di bidang peragaan. Jadi, lebih kurang sama dengan Level 4 walaupun berlainan fokus masing-masing. Untuk Level 1, mereka sepakat menawarkan program pesta makanan bercitarasa Malaysia di mana restoren-restoren tersebut akan dinilai dalam menyediakan makanan bersesuaian. Beberapa chef masakan terkemuka dalam negara akan dijemput sebagai juri pertandingan. Malah, akan diadakan Makan Festival secara percuma selama dua hari di Luxuree demi menarik perhatian pengunjung. Tarikh untuk Makan Festival akan dimaklumkan kemudian.”
“Oh, nampaknya banyak program menarik yang bakal dijalankan secara serentak.” Ryan ternyata berpuas hati. “Bagaimana pula dengan Level 2?”
“Level 2?” Ali tidak terus menyatakan cadangan-cadangan yang dihantar oleh setiap butik di Level 2 tetapi dia menyerahkan sebuah fail yang dipegangnya sejak tadi kepada Ryan. Dia suka cadangan yang dimuatkan dalam proposal tersebut. Ada kelasnya yang tersendiri!
“Saya rasa ini proposal terbaik untuk jadi highlight akan apa yang bakal dianjurkan di Level 2.”
Highlight?” Ryan membuka fail di tangan. Letter head berlogokan nama butiknya saja dah buat Ryan terkejut. Belum lagi meneliti setiap isi kandungan fail tersebut.
“Butik HANNAH?”
“Ya encik,” jawab Ali.
“Awak ni peliklah Ali. Butik yang merosot jualan ni juga yang awak pilih untuk dijadikan highlight?” Adakah Ali sengaja nak melingkupkan pusat membeli-belahnya itu?
“Encik semak dulu proposalnya. Baru boleh lihat sama ada ia bersesuaian atau tidak. Pada pendapat saya, memang kenalah konsep tersebut untuk promosi musim Fall/Winter. Di Malaysia bukan ke penghujung tahun merupakan tarikh yang sesuai buat pasangan raja sehari mengadakan majlis perkahwinan? Jadi, meletop sangat sekiranya konsep sebegitu diketengahkan.” Sebenarnya Ali membayangkan sesuatu yang lain. Sesuatu yang cuba diketengahkan oleh HANNAH dalam proposalnya. Dan, ia berkait dengan CEO Luxuree itu juga.
“Biar saya baca dulu,” beritahu Ryan. Dia meminta Ali agar meninggalkan ruang kerjanya. Ryan harus meneliti proposal tersebut sebelum boleh memberi kata putus.
“Sebelum tu, encik nak saya hantarkan minum petang ke Suite?” Waktu sekarang pun dah menghampiri ke pukul empat setengah petang. Menjadi kemestian buat Ryan menikmati sajian minum petang sekembalinya dia ke ruang kerja atau Suite.
“Ya.”
Ali mengangguk dan melangkah keluar dari ruang kerja Ryan. Dia mengambil organizernya dan sempat menitipkan pesanan kepada Melissa, “Aku nak ke Level 2. Kalau ada hal penting just call.”
“Okey,” Melissa kembali sibuk dengan kerja-kerjanya. Dia ada banyak urusan yang perlu diselesaikan sekarang terutama sekali promosi musim Fall/Winter bakal menjengah setiap butik yang bernaung di bawah Luxuree tak sampai dua minggu saja lagi.
Ryan yang berada di ruang kerjanya itu geleng kepala tak percaya, “Ali... Ali, cadangan perempuan kerek ni juga yang dia nak jadikan highlight?”
Dia mendaki tangga ke Suite. Walaupun rasa tidak berminat untuk mengetahui isi kandungannya, proposal tersebut tetap dibawa bersama. Tiada salahnya jika dia melihat-lihat. Jika betul seperti yang dikatakan oleh Ali bahawa ia boleh dijadikan promosi utama, Ryan akan mengambil beberapa bahagian daripada bentuk promosi tersebut dan diterjemahkan kepada pemasaran produk yang sesuai.



“BETUL ke dia akan pertimbangkan?” soal Hana semacam tak percaya. Terasa lega pula mendengarkan pemberitahuan tersebut.
“Ya, Encik Ryan akan cuba pertimbangkan.” Selepas menempah sajian minum petang buat majikannya, sempat lagi Ali lencongkan langkahnya menyinggah ke butik HANNAH. Dia sendiri tidak sabar hendak menyampaikan berita tersebut. Ali, kalau bab-bab bersangkutan dengan majikannya, memang dia pantas macam kilat!
“Kenapa Ali panggil dia Encik Ryan?” Hana dan Ali sendiri semakin terbiasa memanggil nama masing-masing tanpa awalan ‘Cik’ atau ‘Encik’. Bagi mereka ia kedengaran sangat formal.
“Dia majikan saya. Memang patut dipanggil dengan gelaran Encik Ryan. Lagipun saya ni setiausaha CEO, bukan kawan dia. Sama saja macam waktu saya bekerja dengan Encik Romli.” Formaliti itu takkan pernah terlucut dari menjadi pakaian dirinya buat mereka yang berjawatan lebih tinggi daripada Ali.
“Susah tak berkerja dengan dia berbanding arwah Encik Romli?” teringin sekali Hana mengetahui perihal CEO muda itu dari kacamata setiausahanya. Hana memang kenal rapat dengan Encik Romli tetapi tak sangka pula selepas arwah tiada, cucunya yang mengambil alih pusat membeli-belah terbabit.
“Cara arwah Encik Romli lain dan cara Encik Ryan pula berbeza, tak sama.” Jawab Ali jujur. Mereka dua individu berbeza walau memiliki pertalian darah yang kuat.
“Lain macam mana tu?” Hana masih ingin tahu lebih lanjut. Entah mengapa terdetik rasa minat di dalam dirinya untuk mengetahui perihal lelaki bernama Ryan itu.
“Macam arwah, dia perfectionist tetapi seorang yang berfikiran jauh. Sentiasa mengambil berat akan pekerja-pekerja, staf dan klien Luxuree. Macam Encik Ryan ni, dia jenis yang berkira. Lebih sukakan wang ringgit berbanding manis muka. Tapi, saya hairan sikit dengan Encik Ryan ni. Dalam kedekut-kedekut tu, dia paling tak berkira dengan kekasih-kekasihnya yang lain. Entah mimpi apa agaknya?”
“Awek dia lebih daripada seorang ke?” Iyalah, dah Ali sebut ‘kekasih-kekasihnya’ tadi. Bukankah kedengaran seperti lebih daripada seorang?
“Saya sebut ‘kekasih-kekasihnya’ tadi, kan?” tanya Ali.
Hana mengangguk. Rasanya dia tidak salah mendengar.
“Betullah apa yang Hana dengar tu. Lebih daripada seorang. Ada lima orang kesemuanya.”
Melopong mulut Hana mendengarkan bilangan kekasih lelaki itu. Lima orang? Gila ah! “Tak kantoi ke dia pasang awek ramai sangat?”
“ Mereka berkawan baik. Kekasih-kekasih Encik Ryan tu rapat di antara satu sama lain. Itu yang saya pelik! Ingatkan tak adalah perempuan yang lebih pelik daripada Hana, rupanya ada lagi yang terlebih pelik mengelilingi kehidupan Encik Ryan tu.”
“Saya pulak yang kena?” Sejak bila pula Hana terdiri daripada perempuan yang mengelilingi hidup CEO kerek tu? Ali ni pun satu. Pandai-pandai aje nak menggandingkan Hana dengan Ryan.
“Iyalah, mana saya tak pelik dengan Hana ni. Asal ada masalah, mulalah buat perangai kat eskalator Level 2 tu. Kalau saya ni penulis novel, kisah Hana dengan eskalator tu dah boleh dibukukan. Saya bubuh tajuk, ‘Aku, Dia dan Eskalator’ gitu!”
Hihihi... ada-ada aje Ali nak usik saya.” Hana rasa betul-betul mesra bila dapat berbual dengan Ali. Setiap kali runsing dia perlukan seseorang untuk berbicara. Kini, dia ada Ali untuk berkongsi cerita.
“Hana okey?” Ali perasaan wajah gadis itu tidaklah seceria mana. Lebih kepada ceria yang dibuat-buat.
Hmm... macam ni jugalah Ali . Pelanggan butik makin kurang. Selalu dalam sebulan tak menang tangan saya terima tempahan.” Hana mengunjukkan planner yang dicapai di meja kopi ke arah Ali, “Tengok ni. Kosong kan?” Sempat lagi dia menunjukkan kalendar bulan September. Dah tinggal beberapa bulan saja lagi untuk ke tahun baharu. Bahkan nak masuk cuti sekolah, tiada pula tempahan pakaian pengantin di hujung tahun seperti kebiasaannya.
“Tapi kenapa?”
“Dua, tiga bulan ni Hana banyak dapat aduan daripada customer yang anggap butik HANNAH bawa malang kepada pengantin yang baru berkahwin. Hana sendiri tak tahu dari mana datangnya desas-desus cerita tu. Tup-tup ramai pelanggan yang datang ke butik dan serang Hana. Ada yang siap batalkan tempahan lagi.”
“Boleh pula macam tu? Tapi, kenapa mereka cakap butik HANNAH bawa malang? Saya masih tak faham.”
“Sebab tak sampai sebulan mereka berkahwin, mereka failkan proses cerai. Bila cerita dah tersebar dan yang mengaitkan mereka semua adalah pelanggan butik, secara tak langsung mereka buat konklusi yang pakaian-pakaian pengantin juga butik ni bawa sial pada mereka.”
Isy, macam mana mereka boleh terpengaruh dengan alasan tak masuk akal tu? Dah memang bukan jodoh mereka sehingga ke akhir hayat untuk kekal sebagai suami isteri, takkan orang lain turut terheret dapat busuk nama? Tak patut... tak patut!”
“Sebab tu Hana nak proposal tu berjaya. Secara tak langsung Hana akan cuba buktikan bahawa bukan butik HANNAH menjadi punca mereka bercerai. Dapatlah tutup mulut mereka daripada sebarkan cerita tak berasas.”
“Oh, macam tu ke?” Mulut Ali terkunci buat beberapa saat. Dia semacam berfikir akan sesuatu. “Nanti saya cuba pujuk Encik Ryan untuk setuju dengan kandungan proposal Hana ya?” Beritahunya lagi.
“Ali boleh tolong?” Bersinar-sinar wajah Hana mendengarkan kata-kata lelaki itu tadi.
Hmm... macam mana nak cakap ek? Boleh aje nak tolong tu tapi Hana sanggup ke nak hadap kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang nanti?” Ali melihat Hana sebelum tersenyum.
Err... tang tu Hana tak fikir lagi.” Sebenarnya ada pro dan kontra juga isi proposal yang dihantarnya itu. Tapi lebih berat ke arah mana, Hana tak buat kira-kira langsung.
“Hana yakin boleh masuk dengan dunia Encik Ryan dan teman wanitanya yang ramai tu?” Ali membuat isyarat dengan jari. Iyalah, bila dapat tahu proposal Hana perlu dilaksanakan secara bergandingan, belum tentu orang lain boleh menerima dengan fikiran terbuka.
Gulp! Hana dah telan liur yang terasa pahit di kerongkong. Betul juga apa yang disampaikan oleh Ali tadi. Matilah kalau macam ni! “Hailaaaaa Hana, bala apa yang baru kau cari ni?”

No comments: