my rants

Boleh dihubungi melalui:
# Wattpad: Iftirasy_
# Twitter: Iftirasy_
# FB Page: Iftirasy_

May 8, 2017

LUXUREE 1



1

BIASANYA dia memandu sendiri dan terus saja ke Level 4 kerana tempat meletak kereta juga pejabatnya berada di tingkat yang sama. Bukan selalu Chief Executive Officer (CEO) tersebut ke Luxuree dengan dihantar oleh Mustapha, pemandu peribadi keluarga buat meninjau sekitar Luxuree Theme Park.
Hari ini genap sebulan dia bertugas sebagai CEO Luxuree yang sah selepas pengambilalihan daripada mantan Pengarah sebelumnya iaitu arwah datuknya sendiri, Encik Romli.
“Selamat tengah hari, Encik Ryan.” Serentak enam orang staf pentadbiran memberi ucap selamat sebelum mengiringi CEO Luxuree itu ke dalam pusat membeli-belah terkemuka tersebut.
Ryan yang mendengar ucap selamat daripada pekerja-pekerjanya tanpa sedikit pun mengukir senyum terus saja berlalu. Terkocoh-kocoh enam orang pekerjanya itu tadi mengekori di belakang disertai dua orang setiausahanya mengiringi di sebelah kiri dan kanan.
“Encik nak buat lawatan ke setiap butik atau terus ke pejabat?” Ali, setiausaha pertamanya dah bersedia untuk mengiringi jika Ryan benar-benar ingin membuat rondaan terlebih dahulu.
Office,” pendek saja jawapannya. Dia baru saja melawat kawasan pembinaan Luxuree Theme Park, dah nak kena meronda butik terus? Memang taklah.
Ali mengangguk.
“Itu ke CEO Luxuree? Pemilik pusat membeli-belah yang dikatakan kerek tak bertempat tu?”
Kedengaran suara-suara halus menyebut nama Ryan sehinggakan langkahnya ke ruang lif terhenti seketika. Dia berpaling ke sebelah kanan. Memerhatikan tiga orang pekerja pembersihan yang sedang enak bergosip perihal dirinya.
“Amboi, sedapnya bahasa korang! Kerek? Ingat aku pekak? Dahlah cakap tak toleh kiri kanan langsung. Aku ni yang bayar gaji korang setiap hujung bulan tau!” desis Ryan jengkel.
Baru saja Ryan ingin bergerak menghampiri tiga orang pekerja itu, langkahnya dihalang oleh sang setiausaha, “Biar saya yang uruskan mereka. Lif dah tiba. Encik Ryan naiklah ke atas dulu.”
“Pecat mereka semua!” Ryan memberi arahan sebelum dia memboloskan diri dalam lif ditemani setiausaha keduanya, Melissa.
Hmm...” Ali mengeluh saat bayang CEO muda itu hilang dari pandangan. Pekerja-pekerja pentadbiran yang empat orang lagi itu dah geleng kepala. Ali hanya mampu jongket bahu. Dia berpusing dan kini langkah kakinya dibawa mendekati ketiga-tiga orang pekerja pembersihan sebentar tadi.
Sekembalinya Ali ke pejabat, bilik kerja majikannya lebih dahulu diterjah. Ali meletakkan fail penyata kewangan yang hanya berketebalan tidak sampai satu sentimeter itu di atas meja untuk semakan Ryan.
“Ini penyata kewangan setiap butik bagi jualan bulan lepas. Mohon encik semak sebelum saya keluarkan memo kepada setiap butik yang ada di Luxuree.”
“Biarkan dulu kat meja tu. Selesai semak saya akan serahkan semula pada awak berserta pembetulannya sekali.” Perlahan sahaja dia menghayun kayu golf yang dipegang. Bola meleret terus memasuki lubang yang ada, menerbitkan senyuman di penjuru bibir Ryan.
Mendengarkan perkataan ‘pembetulan’ tersebut, Ali sedia maklum. Bakal ada yang perlu diperbaiki nanti. Arif dia akan setiap butir bicara CEO muda itu. Walaupun majikannya itu sering sahaja dicop sebagai CEO yang masih mentah dan tidak kompeten untuk menerajui pusat membeli-belah mewah peninggalan arwah datuknya, tetapi hasil kerjanya sentiasa tip-top! Tiada yang kurang kerana Ali tahu, Ryan bermula daripada bawah untuk tiba kepada kedudukannya sekarang.
Awalnya dulu, dia ditugaskan sebagai penjaga lot parkir oleh Encik Romli. Banyak kerja-kerja ‘runcit’ yang dibuat di Luxuree sebelum Encik Harisudin meminta anaknya itu menaikan rangkaian televisyen TV 10 mereka di Bali pula. Memang sambil belajar dia bekerja secara sambilan dengan keluarganya sendiri.
“Awak dah pecat pekerja-pekerja tadi?” soal Ryan.
“Dah,” balas Ali pendek.
“Bagus. Saya tak perlukan pekerja seperti mereka yang gemar bergosip. Buat rugi duit syarikat aje bayar gaji mereka.” Ryan senyum puas. Kayu golf diletakkan dalam beg khas di suatu sudut bilik.
“Ada apa-apa lagi yang encik perlukan? Jika tiada, saya keluar dulu.”
“Setengah jam lagi saya akan buat rondaan di Luxuree. Saya nak mandi kat Suite. Fail penyata kewangan tu akan saya serahkan pada awak nanti.” Belengas berada di tapak pembinaan Luxuree Theme Park demi melawat kerja-kerja yang berlangsung turut meletihkan batang tubuhnya sama.
“Baik.” Ali membawa langkahnya keluar dari ruang kerja Ryan.
Ryan mencapai fail di meja sebelum mendaki tangga yang menghubungkan ruang kerjanya dengan Suite di tingkat atas. Ruang rahsia buat CEO itu beristirahat sekiranya sehari suntuk berada di Luxuree. Kadangkala di Suite jugalah lokasi buat Ryan bermalam jika tidak pulang ke kediaman keluarganya di Hills View.
Ryan bergerak ke bilik mandi bersama fail di tangan. Tab mandi sudah tiga per empat dipenuhkan dengan air. Dia masuk ke dalam tab mandi. Playlist di telefon bimbit ditekan. Irama Jazz kini menjadi latar saat dia menyegarkan tubuh dan menyemak fail penyata kewangan tadi. Pena mata bola berwarna merah sudah terlarik di beberapa bahagian dalam dokumen tersebut. Selesai menyemak, fail diletakkan di suatu sudut tinggi. Bimbang andai terkena air.
Selesai mandi dan menukar pakaian, Ryan bergerak ke ruang kerjanya di tingkat bawah. Kelihatan Ali sudah bersedia menunggu. Fail diserahkan kepada lelaki itu sebelum mereka mula bergerak meninggalkan ruang pejabat CEO Luxuree.
“Encik nak mulakan dari bahagian mana?”
“Level 4, Accessories & Jewelry.”
Langkah mereka dibawa ke butik Double Clutch. Butik mewah kebanggaan Ryan kerana pulangan jualannya sentiasa memberangsangkan setiap bulan.
“Selamat petang Encik Ryan.” Encik Liew tangkas mendekati CEO muda yang baru saja melangkah masuk di bahagian pintu utama butik miliknya.
“Selamat petang Encik Liew. Bagaimana dengan perniagaan hari ini? Bertambah baik?”
Lebar senyuman Ryan bila menemui pemilik butik beg tangan berjenama tersebut. Sempat lagi mereka berjabat tangan. Mentang-mentanglah butik itu merupakan butik yang mendapat tempat pertama dalam jualan bulan lepas. Maka, tidak hairanlah sekiranya Ryan melayan butik tersebut sebagai butik VVIP kegemarannya.
“Jualan hari ni cukup memberangsangkan. Tak menang tangan pekerja-pekerja saya melayan pelanggan yang datang.” Tampak yakin Encik Liew memaklumkan perihal butiknya hari ini.
Sempat juga Ryan melawat-lawat ke dalam butik Double Clutch. Beg tangan berjenama yang ada ditilik penuh minat terutama sekali dari koleksi Spring/Summer, New Arrival juga Limited Edition. Ryan mengarahkan Ali untuk membeli beberapa buah beg tangan yang ada bagi pihaknya. Dalam fikirannya sempat mencongak bilangan kekasih hatinya yang ramai. Hubungan cinta platonik sebegitu baginya lebih memudahkan. Tidak terikat sehingga perlu dia mendirikan rumah tangga dan sebagainya.
Keep up the good work!” Ryan menitipkan kata-kata semangat buat pemilik juga pekerja-pekerja di Double Clutch sebelum berlalu.
Dari sebuah butik ke sebuah butik di Level 4 mereka jelajahi semata-mata untuk melakukan tinjauan rutin. Ternyata Ryan berpuas hati dengan mutu setiap butik yang menyewa di Luxuree, pusat membeli-belah mewah miliknya.
“Jangan lupa sampaikan plak LUXUREE kepada Double Clutch dan pastikan butik yang berada di tangga terakhir menyerahkan surat tunjuk sebab kerugian mereka kepada saya. Selewat-lewatnya sebelum Luxuree tamat operasi hari ini.”
“Encik tak rasa masanya cukup singkat untuk serahkan surat tunjuk sebab tu?”
“Tak. Jika nak bersaing dengan butik-butik lain di Luxuree, mereka kenalah menyajikan mutu barangan, khidmat pelanggan terbaik juga memenuhi kepuasan orang ramai. Butik gah mana pun kalau tak mampu nak kaut keuntungan dan beri pulangan lumayan kepada Luxuree, buat apa beroperasi di sini? Banyak lagi butik-butik berjenama yang ingin merebut slot untuk masuk ke Luxuree. Untuk butik yang tak memberangsangkan jualannya setiap bulan, mereka dah boleh angkat kaki. Banyak lagi pusat membeli-belah di luar sana yang mereka boleh bertapak.”
Ali diam. Sesekali melayan kerenah Ryan membebel, dia rasa lucu. Iyalah, bakat muda seperti lelaki itu walaupun selalu dipandang remeh, adakala kata-katanya masuk akal juga. Bahagian berceloteh dan membebel itulah yang menjadi asam garam Ali memahami bahawa sekasar mana pun bahasa majikannya itu, sifat prihatinnya masih menebal walau cuba disorok sebaik mungkin.
“Berangankan apa tu Ali?” tiba-tiba Ryan menegur.
“Tak ada apa-apa, encik.”
Hmm... dahlah. Tea break dulu. Lepas tu baru sambung buat rondaan lagi.”
“Baik.” Baru sebuah butik yang dilawat, dah tea break pula. Macam-macam hallah bosnya yang seorang ini bekerja!
Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana lelaki semuda Ryan mampu menjadi CEO Luxuree sedangkan orang tuanya masih lagi hidup. Mungkin ramai juga yang mempersoalkan akan kredibiliti Ryan menerajui pusat membeli-belah mewah tersebut di usianya baru saja mencecah 26 tahun.
Graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, University of Toronto Scarborough itu sentiasa diperlekeh kerana masih hijau dalam hal-ehwal dunia perniagaan yang luas dan sentiasa bergerak pantas.
Memang sudah termaktub dalam wasiat arwah Encik Romli, pewaris Luxuree nanti adalah cucunya sendiri, Ryan Harisudin. Memandangkan Encik Harisudin dan Puan Malaika menguruskan stesyen televisyen TV 10, sebab itu Ryan terpaksa menggalas jawatan CEO Luxuree selepas Encik Romli meninggal dunia.
Ryan merupakan anak tunggal kepada Encik Harisudin dan Puan Malaika. Malah, satu-satunya cucu tunggal kesayangan Puan Rasidah dan Encik Romli yang baru saja kembali ke rahmatullah pada penghujung tahun lalu. Itu meletakkan Ryan sebagai calon tunggal waris perniagaan pusat membeli-belah Luxuree berkuatkuasa serta-merta. Wasiat mutlak menerajui Luxuree sedia tergalas di bahu Ryan sehabis dia menamatkan Ijazah Sarjana Muda di Kanada.
Memang Ryan jarang ke Luxuree di waktu pagi. Sekiranya dia bermalam di kediaman keluarga, selalunya menghampiri waktu tengah hari barulah dia tiba ke Luxuree. Pesan daripada arwah Encik Romli masih diingat sehingga sekarang...

“Dalam hidup ni, tak semua orang sukakan kita dan tak semestinya semua orang bencikan kita. Ryan kena faham tu. Jadi, untuk mengurangkan rasa benci, iri hati dan dengki orang lain kepada Ryan, kurang-kurangkan bertemu dengan orang luar terutama sekali apabila berada di Luxuree. Sebab itu datuk sediakan Suite untuk Ryan beristirahat lepas segala urusan kerja selesai. Apa yang Ryan perlu tahu, pantau segala butik yang bernaung di bawah Luxuree. Tak semestinya secara berdepan. Ada pekerja, kakitangan juga dua orang setiausaha yang boleh membantu.”
“Jadi, Ryan tak perlu susah payah melawat setiap butik? Macam tu?”
“Bukanlah tak melawat terus. Sesekali perhati perjalanan setiap butik, melihat-lihat pelanggan yang ada sekali gus itu membantu Ryan memasang hala tuju bagaimana untuk memasarkan Luxuree juga setiap butik yang bernaung di dalamnya.”

Ali hairan bila Ryan tidak jadi meneruskan langkahnya. Mereka berhenti seketika di bahagian pengadang di tengah-tengah Level 4 pusat membeli-belah Luxuree. Ruang yang membolehkan pengunjung melihat ke tingkat bawah.
“Eskalator tu dia buat macam mesin treadmill kat rumah sendiri ke?” soal Ryan, kehairanan.
“Siapa yang encik maksudkan?” Ali masih tidak memahami apa yang ditanyakan oleh majikannya itu.
“Tu... perempuan tu?” Muncungnya ditala ke bahagian eskalator yang berada di sebelah sayap kiri Level 2 pusat membeli-belah Luxuree.
“Oh, encik maksudkan Cik Hana ke?” Selalunya Ali hanya memanggil gadis itu tanpa awalan ‘Cik’. Cuma apabila dengan Ryan terpaksalah dia membahasakan gadis itu dengan panggilan yang sesuai.
Baru kini Ali perasan akan kehadiran Hana di Level 2. Mungkin perlakuan gadis itu di eskalator sekarang membuatkan Ryan penasaran ingin tahu. Bagi Ali, itu pemandangan biasa buatnya juga beberapa orang pekerja di Luxuree yang sedia mengetahui tingkah aneh Hana bersangkutan dengan eskalator tersebut. Malah, ada juga pelanggan yang datang ke Luxuree bukan untuk membeli-belah, tetapi berjogging di Luxuree. Beriadah dalam suasana berpenghawa dingin. Pelik tak pelik?
Hana sekarang ini dilihat sedang bergerak melawan arus. Eskalator itu sepatutnya membawanya ke tingkat atas sedangkan dia pula berjalan menuruni tangga eskalator itu ke bawah. Alamatnya memang Hana tak sampai ke bawah langsung kalau begitulah gayanya.
“Cik Hana?” Dua keningnya hampir bercantum menyebut nama tersebut.
“Ya. Pemilik butik HANNAH di Level 2,” ujar Ali seraya tersenyum.
“Saya macam pernah dengar nama butik tu tetapi yang mana satu eh?” Ryan ingat-ingat lupa.
“Setahu saya, encik tak pernah singgah ke butik pakaian pengantin tu.” Ali cuba mengingat.
Setakat ini memang tidak pernah dia mengiringi Ryan ke butik tersebut. Lainlah semasa Encik Romli masih ada. Mantan majikannya itu akan selalu singgah sekiranya mempunyai sedikit kelapangan demi berbual-bual dengan Hana atau pemilik sebelumnya yang juga kakak sepupu Hana, Haida.
“Butik pakaian pengantin? Kalau macam tu memang tak mungkinlah saya nak masuk.” Ryan memang tak berapa gemar mengunjungi butik-butik sebegitu. Tak kena dengan jiwanya. “Erm... bukan HANNAH tersenarai antara butik yang mencatatkan jualan paling rendah bulan-bulan lepas? Betul tak?”
“Betul.” Ali menelan liur. Macam ada yang tak kena aje dari mukadimah soalan Ryan itu.
“Tapi, kenapa saya macam tak pernah terima surat tunjuk sebab daripada butik tu?” Rasa-rasanya memang tiada surat tunjuk sebab daripada butik HANNAH langsung! Tak mungkin Ryan terlepas pandang.
“Dia merupakan pemilik butik VVIP kegemaran arwah Encik Romli. Jadi, memang arwah Encik Romli tak mengizinkan saya menghantar memo kepada butik tersebut.”
“Butik VVIP? Butik kegemaran arwah datuk saya?” Ryan seakan tak percaya dengan perkhabaran itu. Takkanlah arwah datuknya gemarkan ‘pucuk muda’ seperti Hana? Isy, selisih! Minta dijauhkanlah jika alasannya sebegitu.
“Begitulah yang kami sedia maklum.” Kata-kata Ali mewakili dirinya dan juga setiausaha kedua, Melissa.
“Dan lagi, encik tak perlu risau jika bertembung dengan Cik Hana macam tu.” Apa yang Ali maksudkan adalah tingkah pelik Hana sekarang. “Selalunya jika ada sesuatu yang mengganggu fikirannya, dia akan berkelakuan pelik macam tu as a method of thinking.”
Hmm... dari buat kerja mengarut macam tu lebih baik dia fikirkan strategi bagaimana nak tingkatkan jualan di butiknya. Sekali gus bagi keuntungan pada Luxuree. Ni bukan aje rugi masa, orang tengok pun dah rasa macam ada orang sewel datang lepak Luxuree buat aksi pelik.” Ryan memusingkan jari di pelipis kanan, mengisyaratkan bahawa Hana dah tak betul.
Hihihi... Cik Hana tu memang unik dan pelik. Encik abaikan ajelah,” jawab Ali lagi.
Disebabkan kedudukan mereka berdua agak jauh, maka Ryan tidak dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana wajah Hana sebenarnya. Dia sekadar membiarkan saja tingkah aneh gadis itu sebelum mendekati ruang lif untuk ke Level 1.

No comments: